Mee Goreng Hassan Tengkera (Mee Bodo)

 

MELAKA: Viral di media sosial ternyata membawa rezeki ‘berlipat ganda’ kepada pemilik Mee Bodo Tengkera apabila pelanggan dari Kuala Lumpur, Singapura dan Indonesia sanggup bertandang ke Melaka semata-mata mahu menikmati mi goreng yang dikenali sebagai mi bodo atau mi lambung.

Mungkin namanya pelik dan lucu, namun itulah menu popular yang boleh ditemui jika anda bersarapan di sebuah warung tepi jalan menuju ke Pantai Klebang dekat Kampung Lapan, yang beroperasi dari jam 7.30 hingga 11.30 pagi.

Satu senario biasa yang berlaku pada waktu itu adalah banyak kereta akan dilihat diletakkan di bahu jalan, manakala beberapa pelanggan mi bodo akan beratur panjang sehingga ke jalan raya menunggu hidangan disiapkan.

Menariknya, kemuncak suasana itu yang bagaikan satu pesta makanan apabila pelanggan dilihat sibuk menikmati sarapan masing-masing dengan hidangan dihantar ke meja oleh pekerja warung mengikut giliran pelanggan.

Hasan Hamid, 59, yang mewarisi perniagaan itu daripada ibunya, Nyaros Abdullah sejak 1968 dengan dibantu isteri, Jemaah Isnin, 55, serta anak tunggal lelaki daripada tujuh beradik, Muhammad Firdaus, 30, tidak menang tangan melayan lebih 500 pelanggan sehari.

HASAN menggunakan sambal tumis dan taugeh sebagai rencah Mee Bodo Tengkera. – Foto Khairunisah Lokman

WARUNG Mee Bodo Tengkera sentiasa dipenuhi pelanggan walaupun pada hari bekerja. – Foto Khairunisah Lokman

Beliau yang ditemui berkata, sejak mengambil alih perniagaan pada 1978, beliau masih mengekalkan bahan sama iaitu sambal tumis yang menjadi asas bagi semua masakan.

“Hampir setiap hari saya menggunakan kira-kira 40 kilogram mi dengan setiap hidangan dimasak berasaskan sambal tumis sama ada tumisan untuk mi goreng atau untuk menggoreng telur, selain berencahkan taugeh.

“Mi bodo ini adalah air tangan ibu saya dan sebelum ini dia sempat berpesan supaya tidak mengubah bahan dan sukatannya untuk mendapatkan rasa yang sama,” katanya yang kini mempunyai seramai 10 pekerja.

Untuk menikmati hidangan itu, pelanggan perlu beratur untuk mengambil telur goreng, sambal dan timun, sebelum mi goreng berkenaan dihidangkan selepas itu pada harga RM1.60 sepinggan.

Hasan berkata, tiada rahsia dalam resipi penyediaan mi goreng itu, sebaliknya ia cuma hidangan yang mudah iaitu mi dan taugeh saja.

PEKERJA Warung Mee Bodo Tengkera bersiap sedia menghantar mi bodo kepada pelanggan. – Foto Khairunisah Lokman

“Bagi saya, untuk memberikan yang istimewa kepada pelanggan perlulah hidangan yang ‘segar’ dan lazat, termasuk hirisan timun yang membolehkan pelanggan menambah sendiri ketika berbaris mengambil telur goreng serta pilihan menambah kicap atau cuka,” katanya.

Menceritakan semula gelaran nama Mee Bodo Tengkera yang popular bukan saja di kalangan masyarakat setempat dan luar negeri, Hasan berkata, nama itu diilhamkan daripada seorang rakannya yang berkunjung ke warung itu, kira-kira 20 tahun lalu.

“Ketika itu mi goreng yang dijual tiada nama istimewa, sebelum seorang rakan membawa kenalan lain untuk menikmatinya (mi goreng) di warung saya seterusnya mendesak bertanyakan mengenai nama mi goreng ini, sebelum rakan berseloroh menyebut mi bodo.

“Ia kerana hidangannya yang sangat ringkas, mi dan taugeh yang membuatkan rakan berkenaan menggelarnya mi bodo. Saya tidak mengambil hati dengan gelaran itu, malah bersyukur kerana resipi hidangan air tangan ibu masih mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya perniagaan berkenaan bakal diwarisi oleh anak lelakinya.

MI bodo dihidangkan panas terus daripada kuali untuk menjamin kelazatannya. – Foto Khairunisah Lokman

PEKERJA Warung Mee Bodo menyusun mi bodo sebelum dihidangkan kepada pelanggan. – Foto Khairunisah Lokman

Pelancong, Cindy Winata, 40, dari Kalimantan, Indonesia, berkata dia pertama kali berkunjung ke warung itu selepas diperkenalkan sahabat, Sunny Chung, 58, yang berkongsi lokasi tempat makan menarik untuk dikunjungi di Melaka.

“Hidangan yang disediakan sangat ringkas, namun sedap kerana ia tidak terlalu masin dan tidak pula tawar, malah disediakan sambal tumis untuk menambah rasa,” katanya.

Pelanggan tetap, Fazli Abdullah, 43, berkata dia sudah menikmati hidangan itu sejak di bangku sekolah dan sebati untuk bersarapan di warung berkenaan hampir setiap hari.

“Rasa sambalnya lain, tidak terlalu pedas dan hidangan mi yang ringkas sesuai dinikmati sesiapa saja, terutama kanak-kanak.

“Pada masa sama, layanan yang diberikan juga pantas dan tidak perlu menunggu lama,” katanya.

Kakitangan kerajaan, Suhailah Jemaen, 30, pula berkata dia tidak kisah terpaksa beratur panjang asalkan dapat menikmati mi bodo yang menjadi sarapan wajib baginya setiap minggu.

“Saya suka makan di sini sebab mi goreng yang disediakan ringkas tapi sedap,” katanya.

INFO
Mee Bodo Tengkera:

  • Warung tepi jalan menuju ke Pantai Klebang dekat Kampung Lapan.
  • Beroperasi dari jam 7.30 hingga 11.30 pagi.
  • Hidangan mudah mi dan taugeh.
  • RM1.60 sepinggan.
  • Setiap hidangan dimasak berasaskan sambal tumis sama ada tumisan untuk mi goreng atau untuk menggoreng telur.

PELANGGAN, Mohd Suhaini Mohd Som, 52, (kiri) menikmati hidangan mi bodo bersama kicap manis. – Foto Khairunisah Lokman
1 2 3 381